Thursday, December 20, 2007

Selamat Hari Raya Aidiladha

Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha diucapkan buat semua pengunjung blog Amir Husaini. Semoga segala ibadah kita diterima oleh Allah SWT hendaknya, insya-Allah.

Monday, November 26, 2007

Cerita ketam

Hari Sabtu lepas, masa pergi pasar tani, ayah dengan mama beli ketam. Bila balik rumah saja, Amir Husaini nampak ketam yang dibeli tu.

Amir Husaini tanya, "Ini apa?"

Mama jawab, "Ketam."

Amir Husaini tanya lagi, "Ketam apa?"

Mama jawab, "Ketam bunga."

Amir Husaini terus bertanya, "Bunga apa?"

Mama terdiam sekejap sebelum menjawab, "Entahlah Husaini."

Amir Husaini terus respons dengan spontan, "Bunga matahari kot!"

Thursday, November 22, 2007

Vocab baru

Sekarang nie semenjak balik dari kampung, Amir Husaini dah ada beberapa perkataan baru yang dipick-up entah dari mana. Dia suka mulakan ayat dia sekarang nie dengan "Alamak" dan "Ayoyo."

Ada masanya, penggunaan perkataan-perkataan nie tak kena pada tempat. Agaknya di manalah dia dapat perkataan "Ayoyo" tu rasanya? Hmmm...

Friday, October 19, 2007

Nak pi kampung

Hari nie, Amir Husaini balik ke KL semula dengan ayah, Mak Tok, Tok Abah dan Khala Liyana. Sepanjang jalan, dia asyik tanya nak ke mana. Bila diberitahu yang nak balik KL, dia terus bertanya lagi dan lagi. Macam iklan raya Petronas pasal burung murai ler pulak.

Anyway, sampai jer rumah, dia terus sebut kat ayah, "Nak pi kampung." Nampaknya Husaini tak puas lagi beraya di kampung. Insya-Allah kalau tak ada apa-apa, hari Isnin nie Husaini akan balik ke kampung semula. Kali ini lama sikit, mungkin sampai bulan November nanti.

Tuesday, October 16, 2007

Baju raya

Tahun ini Amir Husaini pakai baju raya warna ungu tua yang dijahit sendiri oleh Mak Tok. Macam manapun, kecoh sikit di pagi raya waktu nak pakaikan baju raya Husaini nie.

Masa itu, ayah dengan Tok Abah dah pergi ke masjid untuk solat sunat Aidilfitri. Lepas mandi, Amir Husaini disuruh pakai baju raya warna ungu tu, tapi dia tak nak. Dia beriya-iya nak pakai baju yang dipakai hari-hari. Mungkin dia belum faham signifikan Aidilfitri agaknya. Maklumlah, umur pun baru 2 tahun 5 bulan.

Kebetulan, masa kecoh-kecoh tak nak pakai baju raya tu, ayah dengan Tok Abah pun balik dari masjid. Bila Husaini nampak ayah dengan Tok Abah pakai baju melayu, dia pun kelam-kabut nak kenakan baju raya warna ungu tu siap dengan kain sampin dengan kepiah lagi. Dan baju raya warna ungu tu dipakai Husaini sampai tengah hari.

Saturday, October 13, 2007

Ragam Aidilfitri

Hari ini adalah 1 Syawal - Hari Raya Aidilfitri.

Seperti kebiasaan, Aidilfitri disambut sederhana di kampung. Cuma bezanya tahun ini, ada pertambahan ahli baru dengan kelahiran Shaikh Ammar Qusyairi pada 5 Ramadan yang lalu. Dan seperti biasa, gambar seisi keluarga akan diambil pada pagi 1 Syawal.

Di bawah adalah gambar-gambar aksi Amir Husaini semasa "sesi gambar keluarga" di pagi raya.

Friday, October 12, 2007

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Bersempena 1 Syawal yang bakal menjelang esok, terimalah ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir batin daripada Shaikh Amir Husaini dan keluarga.

Saturday, October 06, 2007

Wrestling

Amir Husaini nampaknya amat meminati program gusti di televisyen. Kalau program tu tengah on, janganlah siapa-siapa tukar channel. Mesti dia marah dan akan tukar balik ke channel yang ada program wrestling tu. Seronok betul dia tengok orang bergusti, siap boleh gelak lagi. Macam tengok rancangan komedi ler pulak. Walaupun ayah curi-curi tukar channel sebab tak nak Husaini terpengaruh, setakat nie usaha seperti ini tak berjaya.

Lepas mengamati program tu untuk mendapatkan teknik-teknik bergusti secara teori, Husaini akan buat praktikal kat ayah. Adeh laaa...

Friday, September 28, 2007

Mood baik

Hari nie Ammar Qusyairi balik dari hospital. Nampaknya mood Amir Husaini lebih baik. Dia tak lasak sangat. In fact, dia nampak lebih ceria bila adik ada di rumah hari nie. Hopefully, mood Husaini akan dapat dikekalkan pada tahap seperti hari ini.

Wednesday, September 26, 2007

Lasak

Semenjak Amir Husaini jadi abang nie, nampaknya dia makin lasak. Mama kata, mungkin sebab Husaini nak grab attention semua orang yang bertumpu kat adik. Cuma yang meletihkan, bila Husaini tak ikut cakap. Kalau dikata jangan, lagi dibuatnya. Sampai berbuih mulut kekadang tu. Boleh tahan gak tahap kedegilan Husaini nie. Al-maklumlah, orang ada dua pusar di kepala (macam ayah dia gak ler - dua pusar, sama degil). Almost every day ada ajer nak gaduh dengan ayah. Tapi lepas gaduh, kesian ler pulak tengok Husaini.

Sabar... sabar... Dugaan!

Friday, September 21, 2007

Abang Husaini

Alhamdulillah pada hari Isnin lepas (17 September 2007) tepat jam 1.40 pagi, Amir Husaini telah menjadi abang. Adiknya, Shaikh Ammar Qusyairi telah selamat dilahirkan.

Pada mulanya, sewaktu Ammar Qusyairi dibawa pulang, Amir Husaini nampak semacam jeles dengan adiknya. Rasanya itu perkara normal bagi seseorang yang baru bergelar "abang." Lepas sehari dua, barulah Husaini dapat adjust dengan kehadiran ahli keluarga baru. Dia pun dah mula membahasakan dirinya sebagai "Abang Husaini."

Moga Husaini dan Qusyairi akan dapat membesar sebagai abang dan adik dengan mesra, akrab dan ceria.

Friday, September 14, 2007

Celoteh

Kebelakangan nie, Amir Husaini banyak celoteh. Semalam misalnya, waktu orang semua sibuk nak siapkan juadah untuk berbuka puasa, Husaini punyalah banyak cerita sampai tak terlayan. Cakap dia pun dah semakin lancar dan terus. Pelat pun dah kurang walaupun masih ada beberapa perkataan yang masih disebut tak betul.

Kalau Husaini nampak kereta polis, dia akan kata, "Polis nak tangkap orang jahat."

Kalau Husaini nampak ambulans, dia akan kata, "Ambulans nak hantar orang sakit."

Kalau Husaini nampak lori sampah, dia akan kata, "Lori sampah nak angkat sampah."

Kalau Husaini nampak KLCC, dia akan kata, "Husaini dah pernah pi KLCC."

Kalau Husaini nampak cerita Justiriser di TV, dia akan kata, "Bertukar!!!" - siap dengan aksinya sekali.

Sabar ajerlah...

Wednesday, September 12, 2007

Firasat

Orang tua-tua selalu kata yang kanak-kanak kadang-kadang boleh tahu sesuatu perkara. Entahlah, agaknya kanak-kanak dengan jiwa yang suci boleh memahami dan merasai sesetengah perkara yang orang dewasa sendiri tidak perasan atau tidak tahu.

Amir Husaini misalnya, walaupun usianya baru 2 tahun 4 bulan, ada kalanya apa yang dipertuturkannya menyebabkan ayah dan mama terdiam sejenak. Amir Husaini akan menjadi abang tidak lama lagi, insya-Allah. Ketika usia semuda ini, mungkin dia kurang mengerti perasaan untuk mendapat adik. Sekurang-kurangnya itulah yang difikirkan oleh ayah dan mama.

Tetapi beberapa kali baru-baru ini, Husaini ada sebut, "Husaini nak dapat adik nanti" dan kerap juga dia membahasakan dirinya sebagai "Abang Husaini." Ada ketikanya pula, dia akan mengasingkan barang tertentu dengan berkata, "Ini adik punya."

Cuma yang agak menggelikan hati ialah apabila Husaini sebut, "Husaini nak dapat adik dua!"

Dua orang adik? Bila discan oleh doktor setiap kali mama pergi check-up, cuma ada seorang ajer adik. Tak kan scan yang dibuat silap kot? Hmmm...

Monday, September 10, 2007

Rekod baru

Minggu lepas, Amir Husaini telah mencipta rekod baru bagi acara tidur lewat. Rekod baru yang diciptanya iaitu pada jam 3 pagi memadamkan semua rekod lama sebelum ini. Sekarang ini, walaupun Husaini taklah tidur selewat 3 pagi, waktu tidurnya masih lewat. Paling awal tidur pukul 1 pagi.

Adakah rekod baru ini akan dipecahkan selepas ini? Kita tunggu dan lihat...

Tuesday, September 04, 2007

Muruku dan Keroro

Semalam Amir Husaini makan muruku. Nampak dia suka benar dengan makanan nie. Bila habis, Husaini minta lagi.

"Nak kuruku. Nak kuruku!"

Mama kata bila Husaini sebut "kuruku" tu seakan-akan bila dia sebut "Keroro" - watak kartun yang diminati oleh Husaini. Memang Husaini minat sungguh dengan Keroro. Kalau Keroro mula saja disiar di tv, dia akan duduk setia depan tv dari awal sampai habis.

Monday, September 03, 2007

Tidur lewat

Semenjak 10 hari yang lepas, Amir Husaini selalu tidur lewat. Waktu tidur dah berganjak ke jam 1.30 hingga 2 pagi. Cuma semalam saja baru dia tidur awal. Nampaknya lepas nie kena control dan reset jam biologi Husaini supaya dia tidur awal sikit.

Sunday, September 02, 2007

Mari mengeja

Amir Husaini memang dah boleh sebut ABC. Cuma bab membaca dengan mengeja tu belum lagilah sebab dia baru jer umur 2 tahun 4 bulan.

Hari nie, ada sesuatu yang menarik yang berlaku. Mak Tok eja S-U-S-U supaya Husaini tak tahu yang susu dah siap dibuat. Tapi Husaini tahu yang S-U-S-U tu adalah susu!

Thursday, August 23, 2007

Cerita keropok

Semalam masa ayah sampai ofis, ada seorang pak cik datang jual keropok. Ayah pun belilah satu paket besar keropok ikan tenggiri. Bila balik rumah, Amir Husaini nampak ayah pegang bungkus keropok tu. Terus dia ambil dari tangan ayah. Berikut adalah dialog ayah dengan Husaini.
Husaini: Nie apa nie?
Ayah: Keropok.
Husaini: Nak rokok.
Ayah: Bukan rokok... keropok.
Husaini: Kerokok.
Ayah: Bukan kerokok. KE... RO... POK!
Husaini: KE... RO... KOK!
Ayah: Salah tu. KE...
Husaini: KE...
Ayah: RO...
Husaini: RO...
Ayah: POK...
Husaini: KOK!
Ayah: Isy. Takpalah. Bagi keropok tu kat mama, suruh goreng.
Actually, Husaini boleh sebut keropok. Tapi sajajer dia sebut kerokok. Nak nyakat ayah ler tu. Haila...

Wednesday, August 15, 2007

Nak solat

Dah lama tak update blog Amir Husaini. Dan dah lama tak letak gambar terbaru. Jadi entry kali nie, ada satu gambar terkini. Gambar Husaini pakai baju Melayu siap dengan kopiah. Gaya macam orang nak solat tapi sejadah hala ke lain!

Tuesday, August 07, 2007

Kucing

Satu daripada haiwan yang paling disukai oleh Amir Husaini adalah kucing. Memang pantang dia nampak kucing. Ami Hanafiah ada pelihara seekor kucing di rumahnya. Masa di rumah Ami Hanafiah hari Ahad lepas, memang Husaini teruja dengan kucing nie. Biasanya Husaini tengok kucing dari jauh tapi hari tu, dia dapat tengok dari dekat. Memang seronok habis dia dengan kucing seekor tu.

Thursday, August 02, 2007

Mengigau lagi

Dua malam lepas, Amir Husaini mengigau lagi. Kali nie dia sebut, "Nak bola kecik... nak bola kecik..."

Husaini memang ada banyak bola pelbagai saiz di rumah. Agaknya di sebelah siang, Husaini asyik main bola kecil sampai terbawa-bawa ke waktu tidur.

Alhamdulillah, semalam Husaini takde mengigau.

Monday, July 30, 2007

Perut punya cerita

Semalam waktu mama tengah masak, Amir Husaini minta ayah dukung sebab nak tengok mama masak. Masa tengah dukung Husaini, ayah tanyalah kat Husaini, "Husaini, adik mana?"

Dengan spontan, Husaini gerakkan tangannya dan nak letakkan tangannya di perut ayah. Tiba-tiba bila dah dekat dengan perut ayah, tangan Husaini terhenti. Agaknya baru dia perasan kot. Terus dia tunjuk kat perut mama. "Adik kat dalam perut mama," katanya.

Mama dengan ayah tersenyum.

Moral of the story: Ayah kena kurangkan "keboroian" perut ayah.

Thursday, July 26, 2007

Mengigau

Semalam ayah tidur lewat sebab buat kerja sikit. Masa ayah masuk tidur, waktu dah dekat pukul 4 pagi. Tiba-tiba ayah dengar suara Amir Husaini. Biasanya sekitar waktu nie, Husaini akan minta susu. Tapi semalam, ayah dengar Husaini sebut, "Paper lama. Paper lama."

Isy, mengigau rupanya.

Tuesday, July 24, 2007

Abang Husaini

Tak lama lagi (bulan Oktober nie) insya-Allah, Amir Husaini akan bergelar abang. Sekarang nie pun, ada masanya Husaini membahasakan dirinya sebagai Abang Husaini. Tak macam sesetengah budak yang akan dapat adik, nampaknya Husaini taklah memerap sangat. Dari semasa ke semasa, dia akan pergi kat mama dan kata nak peluk adik. Lepas tu, dia pun peluklah perut mama tu. Tadi sebelum tidur pun, dia pegang perut mama. Waktu tu adik tengah gerak-gerak. Punyalah seronok Husaini bila adik bergerak.

Hopefully bila sampai masanya nanti, Husaini akan jadi abang yang akan ambil berat dan jaga adiknya dengan baik, insya-Allah.

Thursday, July 19, 2007

Demam nak banyak cakap

Sebenarnya dah lama Amir Husaini tak demam. Minggu nie Husaini ada demam sikit campur dengan selesema. Tapi taklah serius sangat. Cumanya sekarang nie, semua orang perasan yang Husaini makin banyak bercakap dan vocabulary dia jugak dah bertambah power. Ayat dia pun dah semakin panjang. Kadang-kadang bila dengar dia bercakap, tak sangka dia faham dan tahu menggunakan satu-satu perkataan tu.

Alhamdulillah, hari nie nampaknya Amir Husaini dah semakin sihat. Demam pun dah tak ada, cuma selesema saja sikit-sikit kalau sejuk.

Sunday, July 15, 2007

Jalan sakan

Semalam, Amir Husaini berjalan sakan. Mula-mula pergi kenduri di rumah Ami Hanafiah. Ami Hanafiah baru beli rumah di Alam Damai, Cheras. Jadi dia buat kenduri doa selamat dan tahlil sebelum pindah masuk ke rumah baru. Di sini Husaini jumpa sepupu-sepupu - Kakak Amira dan Adik Ayuni. Kakak Amira tak layan sangat Husaini sebab dia sibuk main dengan kawan-kawan dia. Tapi dengan Adik Ayuni, Husaini suka betul. Siap pegang tangan dengan cium pipi. Nyaris Husaini nak angkat Adik Ayuni, tapi nasib baik mama nampak. Hehehe...

Lepas tu, pergi pula ke Putrajaya rumah Tok Kim. Di situ, Husaini jumpa Tok Kim, Tok Mah, Tok Noor, Tok Hamzah dan Tok Faridah. Mereka nie semua adalah adik-adik Tok Abah, jadi kira pangkat datuk saudara dengan nenek saudara kepada Husaini.

Sebelum balik rumah, singgah dulu di Alamanda. Saja jalan-jalan di situ dengan Tok Abah, Mak Tok dengan Khala Liyana. Mama beli biskut di Famous Amos. Ayah pula bawa pergi kedai MPH. Di MPH, Husaini macam biasa seronok bukan main bila nampak buku. Ayah beli dua buku untuk Husaini. Tak sempat keluar kedai, Husaini terus ambil buku, duduk di satu sudut kedai MPH dan baca buku.

Lepas tu bila dah dalam perjalanan balik, Husaini terus tertidur dalam kereta. Agaknya letih sangat sebab jalan sakan.

Tuesday, July 10, 2007

Baca buku pukul 4 pagi

Dua tiga malam kebelakangan nie Amir Husaini kerap jaga pukul 3 pagi atau 4 pagi. Biasanya kalau dia jaga, bila diberi susu dia akan tidur balik. Tapi semenjak dua menjak nie, dia nak main atau sembang dulu sebelum tidur balik.

Al-kisah pagi tadi, dia jaga pukul 4 pagi. Kali nie, dia minta diambilkan buku-buku ceritanya dan minta mama bacakan buku-buku tu. Memang biasa kalau sebelum tidur dia akan minta bacakan buku-buku ceritanya. Tapi ini kali pertama dia minta macam tu pada jam 4 pagi. Alhamdulillah, macam biasa, lepas baca buku cerita (yang ceritanya dia dah khatam dan hafal), Husaini pun tertidur.

Saturday, July 07, 2007

Merah jambu

Amir Husaini banyak koleksi kereta mainannya. Ada yang besar, ada yang kecil. Warna pun macam-macam. Dari semasa ke semasa, Husaini akan ajak ayah main kereta mainannya. Petang tadi pun sama. Cuma saja ayah tanya Husaini warna-warna kereta mainannya sebab nak tengok sejauh mana dia cam warna.
Ayah: Kereta nie warna apa? [sambil tunjuk kereta warna kuning]
Husaini: Kuning
Ayah: Kereta nie warna apa? [sambil tunjuk kereta warna merah]
Husaini: Merah
Ayah: Kereta nie warna apa? [sambil tunjuk kereta warna merah jambu]
Husaini: [Diam]
Ayah: Merah jambu
Husaini: [Diam lagi]
Ayah: Merah jambu [mengharapkan Husaini akan mengulang ikut ayah]
Husaini: Pink!

Sabar ajerlah.

Friday, July 06, 2007

Top Lullaby

Hehehe.. sebenarnya tiap-tiap malam masa nak tidur, Amir Husaini akan suruh mama dodoikan dia dengan lagu-lagu tertentu. So, berikut adalah lagu-lagu kegemaran Husaini masa nak tidur (walaupun bukanlah lullaby technically speaking):
  1. Lagu ABC
  2. Burung Kakaktua
  3. Seekor Labah-labah (Itsy Bitsy Spider versi Melayu)
  4. Bangau oh Bangau
  5. Kereta Kecil Warna Merah
  6. Lagu Tiga Kupang
  7. Pak Mamat Ada Kebun

Thursday, July 05, 2007

Gigi serpih

Semalam salah satu gigi kacip Amir Husaini terserpih. Pelik juga sebab dia takde jatuh ke apa ke. Yang serpih tu bahagian hujung gigi, jadi yang tinggal tu walaupun banyak lagi tapi agak tajam. Husaini nampak tak berapa selesa semalam dengan keadaan gigi yang terserpih tu. Risau juga takut dia tergigit lidah dengan gigi yang tajam tu. Harapnya takde apa-apa.

Nak kata Husaini banyak makan junkfood, tidak juga. Coklat jarang sekali. Aiskrim lagilah dia tak suka. Gula-gula memang mama dengan ayah tak pernah bagi. Jadi berkemungkinan gigi Husaini serpih bukan sebab makanan bergula atau manis, tapi sebab kurang kalsium. Kebelakangan nie memang dia kurang minum susu. Nampaknya kena bagi supplement kalsium kat Husaini lepas nie.

Tuesday, July 03, 2007

Dah mula baca ABC

Amir Husaini mula ikut orang baca ABC menjelang Aidilfitri tempoh hari. Kalau sebelum nie, Husaini hanya ikut mama dengan ayah baca ABC, sekarang nie dia dah boleh baca sendiri, walaupun ada huruf-huruf tertentu yang dia tertinggal. Tapi kira not bad laa untuk budak umur 2 tahun.

Sudah jadi kebiasaan Husaini suruh mama nyanyi lagu ABC waktu nak tidur. Dia akan ikut mama sebut huruf-huruf tu, dan kebelakangan nie, alhamdulillah Husaini dah mula boleh sebut sendiri turutan ABC tanpa ikut sesiapa. Lepas nie nak kena kenalkan huruf pula kepada Husaini.

Cuma yang menariknya, bila ayah baca buku, Husaini akan tunjuk kepada tulisan yang ada di dalam buku, dan dia akan kata, "Tulisan!" Maknanya Husaini dah boleh kenal yang mana tulisan, yang mana gambar, yang mana lukisan dan lain-lain.

Monday, July 02, 2007

Imbuhan 'kan'

Biasanya kanak-kanak umur 2 tahun jarang dapat memahami fungsi imbuhan di dalam membina ayat percakapan. Jadi bayangkan bagaimana ayah dengan mama terperanjat dengan kemampuan Amir Husaini menggunakan imbuhan "kan" di dalam percakapan hariannya. Kita yang dah dewasa nie pun jarang gunakan imbuhan "kan" di dalam percakapan harian kita.

Misalnya, kalau Husaini nak suruh bibik ambil sesuatu, dia akan kata, "Bibik ambilkan." Atau kalau Husaini nak suruh ayah atau mama buang kertas atau apa-apa yang dah tak pakai, dia akan kata, "ayah/mama buangkan." Kebanyakan kita rasanya tak akan menggunakan imbuhan "kan" ini semasa bercakap, tapi Husaini guna. Dari segi nahu memang tak salah, malah ayah rasa Husaini lebih betul di dalam perkara ini.

Sekarang nie pun, penguasaan perkataan Husaini dah semakin banyak. Alhamdulillah, dia cakap pun dah semakin terus dan laju.

Monday, June 25, 2007

Pusing-pusing Putrajaya

Hari nie ayah bawa Amir Husaini pusing-pusing di Putrajaya. Ini first trip Husaini ke Putrajaya. Sebenarnya takdelah banyak tempat sangat yang disinggah sebab cuaca agak terik untuk jalan-jalan di luar. Ayah bawa pusing-pusing sekitar Putrajaya lepas tu berhenti di Dataran Putrajaya ambil gambar sambil tengok pemandangan di Tasik Putrajaya. Sempat ler jugak Husaini tengok bot lalu di situ. Ramai jugak pelancong di situ, mungkin sebab hujung minggu. Susah gak nak ambil gambar dengan orang ramai dok lalu-lalang, tapi dapat jugak laa ambil a few shots untuk kenangan.

Friday, June 22, 2007

Antara Giant dengan Carrefour

Selalunya Amir Husaini ajak mama dengan ayah pergi Giant. Memang dia minat sangat jalan ke Giant. Entah apa yang best di situ pun tak tahu. Tapi semalam dia kata dia nak pergi Carrefour pulak. Dialognya lebih kurang gini:
Amir Husaini: Nak pi Apu! [Carrefour]
Mama: Tak nak pi Giant?
Amir Husaini: Nak pi Apu!
Mama: Carrefour kecik [merujuk kepada Giant] tak nak
pergi?
Amir Husaini: Nak pi Apu besaq!
Mama: Apu besaq kat mana?
Amir Husaini: Giant!
Hehehehe...

Monday, June 18, 2007

Teman baca

Semalam Tok Abah, Mak Tok dengan Khala Liyana balik semula ke kampung. Walaupun kali nie, Amir Husaini tak bertanya sangat ke mana pergi semua orang, tapi nampak jelas dia agak boring waktu di rumah. Biasanya kalau Tok Abah dengan Mak Tok tak ada, Husaini akan banyak menempek dengan mama atau ayah.

Biasanya kalau ayah start baca buku, Husaini pun nak baca sama. Akhirnya ayah yang give up, letak buku di tepi dan baca balik lepas Husaini tidur. Tapi semalam, masa ayah tengah baca, Husaini macam biasa menunjukkan minat. Cuma bezanya semalam, dia tak kacau. Sebaliknya dia baring tepi ayah (dan ada kalanya atas perut ayah) temankan ayah baca buku.

Kalau lepas nie Husaini macam nie gak, senanglah sikit ayah buat kerja. Tak perlu tunggu lepas Husaini tidur.

Sunday, June 17, 2007

Basuh daun

Kadang kala bila Amir Husaini bercakap, ada istilah yang agak unik yang digunakannya untuk describe sesuatu. Dari segi konsep dan pemahamannya mengenai perkara yang didescribe itu mungkin tak salah, cuma bagi orang dewasa ianya menjadi lucu.

Contohnya, semalam, mama beritahu ayah tentang satu frasa yang digunakan oleh Husaini. Frasa yang dimaksudkan ialah "basuh daun." Memang, kalau difikirkan tentang frasa ini maksudnya agak pelik. Kenapa perlu dibasuh daun? Lainlah kalau nak basuh tangan, basuh baju atau benda-benda yang kotor lain.

Rupa-rupanya, bagi Amir Husaini, "basuh daun" bermaksud "siram pokok." Agaknya bila Husaini tengok pokok disiram, daunnya menjadi basah. Selama nie, Husaini faham yang sesuatu menjadi basah selepas dibasuh. Jadi, adalah logik bagi Husaini kalau dia guna frasa "basuh daun" dalam kes nie sebab daun pokok basah, jadi mestilah daun tu dibasuh!

Monday, June 11, 2007

Sepetang di Giant

Hari Sabtu lepas bawa Amir Husaini shopping di tempat kegemarannya... Giant. Masa ayah baru parking kereta, tiba-tiba Husaini terus mengira. Dialognya kira-kira macam berikut:
Amir Husaini: 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9!
Mama: Mana pergi nombor 1?
Amir Husaini: 1 tinggal di umah!

Hehehehe, ayah dengan mama gelak jer laa bila dengar respons Husaini.

Saturday, June 09, 2007

Uban

Semalam lepas solat Isyak, ayah terperanjat sebab ternampak rambut uban di kepala Amir Husaini. Bila dibelek-belek dengan lebih dekat, memang sah ada sehelai rambut uban dan beberapa helai lagi yang hampir menjadi uban. Ini kali pertama ayah jumpa uban pada kanak-kanak umur 2 tahun.

Bila diberitahu perkara nie kepada mama, mama kata mungkin Husaini banyak sangat fikir sampai beruban rambut. Masa mama tengah mengandungkan Husaini dulu, mama tengah buat Master. Jadi agaknya dari dalam perut lagi Husaini dah banyak fikir sebab ikut mama belajar sama.

Thursday, June 07, 2007

Pandai mengarang ayat

"Pandai mengarang ayat" - itu komen dari Tok masa balik kampung minggu lepas. Mama pulak bagi tahu ayah yang Amir Husaini dah boleh dibuat teman bersembang. Dia dah boleh faham apa yang kita cakap hampir sepenuhnya, dan dia dah pandai bagi respons.

Masa di kampung hari tu, sempat ambil beberapa gambar Amir Husaini dengan Tok. The picture accompanying this entry is one of them: Gambar Tok dengan Nabil Hakimi dan Amir Husaini.

Wednesday, June 06, 2007

Dah pandai kira

Dua hari lepas, ayah belikan Amir Husaini 10 buah kereta mainan kecil. Memang Husaini minat dengan kereta-kereta macam nie. Dan biasanya bila dapat mainan baru, memang tak akan lekang dari tangannya.

Anyway, semalam masa Husaini main kereta mainan dia, agak terperanjat juga bila dia kira satu-satu keretanya. Memang Husaini dah boleh sebut 1 sampai 10, tapi bukan dalam konteks mengira. Semalam, bila dia pegang sebuah kereta, dia sebut "satu." Pegang kereta kedua, dia sebut "dua." Pegang kereta ketiga, dia sebut "tiga." Dan begitulah sampai akhirnya.

Nampaknya Amir Husaini dah mula faham konsep nombor dan kaitannya dengan mengira.

Tuesday, June 05, 2007

Jumpa sepupu di kampung

Minggu lepas, Amir Husaini balik kampung hampir seminggu. Masa di kampung, Husaini sempat jumpa for the first time cousin baru, Nabil Hakimi, yang kini umurnya 2 bulan lebih. Nampak Husaini berminat betul dengan adik baru yang seorang nie.

Mungkin Husaini dah bersedia nak jadi abang agaknya?

Sunday, May 27, 2007

Balik kampung

Insya-Allah pada hari Selasa nie, kami sekeluarga akan pulang ke Kulim untuk lebih kurang seminggu bersempena cuti sekolah. Ini kali pertama kami pulang ke kampung pada tahun ini. Rasanya bagi Amir Husaini, pengalaman balik kampung memang selalunya menyeronokkan. Ayah akan cuba rakamkan seberapa banyak mungkin pengalaman Amir Husaini di Kulim nanti, insya-Allah.

Saturday, May 26, 2007

Naik LRT

Sebelum nie, bila Amir Husaini keluar jalan-jalan, bila nampak saja LRT ke KL Monorel ke KTM Komuter ke, memang dia excited. Cuma selama nie, dapat tengok dari jauh saja. Tapi hari nie first time Amir Husaini dapat naik LRT. Punyalah excited bukan main bila dapat tengok LRT dari dekat masa LRT sampai di stesen. Husaini naik dari Setiawangsa ke Ampang Park, dan lepas tu balik semula ke Setiawangsa.

Memang seronok Husaini bila dapat naik LRT. Cumanya dia tak puas, mungkin sebab trip tu singkat sangat. Masa di rumah dia asyik beritahu nak naik lagi. Takpalah, lepas nie kalau ada kelapangan, ayah dengan mama bawa Amir Husaini naik LRT lagi, insya-Allah.

Sunday, May 20, 2007

Ceria di Aquaria

Hari nie ayah dengan mama bawa Amir Husaini pergi Aquaria. Kami sampai di Aquaria selepas pukul 11 pagi - waktu tu Aquaria baru saja dibuka, jadi belumlah ramai sangat orang. Kebetulan sekarang nie di Aquaria tengah ada pameran penyu. Masuk-masuk saja dapat tengok banyak jenis penyu.

Bila masuk terowong di Aquaria, Husaini dapat tengok banyak ikan dan hidupan laut yang lain. Memang Husaini nampak leka masa lalu di terowong. Antara ikan yang paling menarik perhatian Husaini di terowong ialah ikan jerung dan ikan pari. Ikan pari besar beberapa kali berenang di atas bumbung terowong.

Husaini juga bernasib baik sebab dapat tengok 'feeding show.' Masa 'feeding show' tengah berjalan, Husaini pegang dinding akuarium sambil tengok ikan diberi makan. Lama juga rasanya Husaini dok perhatikan ikan-ikan diberi makan.

Rasa macam tak puas di Aquaria sebab dalam sejam dah habis tengok semua benda. Jadi ayah dengan mama decide bawa Husaini pusing terowong Aquaria untuk kali kedua. Sekali lagi masa di terowong, Husaini leka dengan ikan-ikan yang berenang dekat dengan kaca akuarium.

Selesai semuanya, ayah dengan mama bawa Husaini ke Atlantis Gift Shop sebelum keluar dari Aquaria. Di situ, ayah dengan mama belikan Husaini baju t-shirt Aquaria dengan stuffed clown fish.

Lebih kurang pukul 12.30 tengah hari, kami semua pun berangkat balik. Husaini nampak ceria di Aquaria. Belum pernah dia tengok ikan sebanyak dan sebesar itu. Insya-Allah bulan depan ayah bawa pergi tempat lain pulak.

Sunday, May 06, 2007

Kenduri kesyukuran

Hari nie Amir Husaini menghadiri kenduri kesyukuran kelahiran sepupunya, Siti Nadiatul Ayuni (gambar sebelah) di Cheras. Ini kali pertama dalam satu tempoh yang agak lama, semua ahli keluarga dapat berkumpul bersama, kerana sebelum ini Ami Hanafiah (papa Ayuni) berlayar. Ami Hanafiah baru balik ke darat pada hari Jumaat lepas selepas lebih kurang 7 bulan di atas kapal.

Wednesday, May 02, 2007

Ulang tahun kedua

Hari ini, tanggal 2 Mei 2007, genaplah usia dua tahun bagi Shaikh Amir Husaini. Ayah dan mama doakan Amir Husaini akan terus membesar dengan sihat, ceria dan gembira. Moga kehidupan Amir Husaini akan diberkati dan dirahmati Allah Taala hendaknya, dan moga menjadi anak yang soleh yang dapat berbakti kepada agama, bangsa, negara, masyarakat dan keluarga.

Hari ini juga, ulang tahun pertama blog Amir Husaini. Insya-Allah blog ini akan diteruskan dengan pelbagai maklumat perkembangan Amir Husaini dari semasa ke semasa.

Sunday, April 29, 2007

Semakin petah

Amir Husaini baru baik dari demam. Kata Mak Tok, mungkin demam nak boleh buat benda baru.

Apapun, sekarang nie, menjelang ulang tahun kelahiran Amir Husaini yang kedua tak lama lagi, vocabulary Husaini dah semakin banyak. Dia dah mula boleh buat ayat yang lebih panjang. Kadang-kadang kita sendiri terkejut dengan perkataan yang mampu digunakannya. Ada kalanya pula, dia mampu memahami konteks dan konsep sesuatu perkataan itu digunakan.

Mengira pun dah boleh. Kalau dia ada mood, dia boleh mengira sendiri 1 hingga 10 tanpa disuruh, walaupun kadang-kadang miss satu dua angka. Begitu juga ABC, boleh diikut apa yang diajar. Demikian juga angka 1 hingga 10 dalam Bahasa Inggeris, dan juga huruf-huruf Jawi.

Alhamdulillah, nampak Husaini cepat tangkap. Harapnya lepas nie dia boleh cam huruf dan angka pula, insya-Allah.

Saturday, April 14, 2007

Ikut solat

Baru-baru nie masa ayah tengah solat Maghrib, Amir Husaini suruh mama bentang sejadah kecil di tepi sejadah ayah. Mama pun bentanglah. Husaini kemudian berdiri di atas sejadah kecilnya sambil menjeling ayah yang sedang solat.

Masa ayah berdiri, Husaini berdiri. Masa ayah rukuk, Husaini ikut rukuk. Masa sujud, Husaini pun sujud. Masa duduk antara dua sujud, Husaini ikut saja. Begitulah sampai ke tahiyyat akhir, Husaini pun duduk tahiyyat akhir sama.

Cuma setiap kali ayah bergerak, Husaini akan menjeling ke arah ayah. Nasib baik ayah tak tergelak, kalau tidak batal solat.

Takpalah. Asalkan Husaini dah ada minat nak solat pada usia belum cecah 2 tahun nie, itupun sudah cukup baik.

Monday, April 09, 2007

Teruja di Taman Burung Kuala Lumpur


Semalam Amir Husaini pergi ke Taman Burung Kuala Lumpur. Mak Tok, Tok Abah, Khala Liyana, ayah dengan mama pergi sama. Trip ke Taman Burung KL nie adalah yang pertama untuk Amir Husaini.

Sampai di sana lebih kurang 9.20 pagi. Sebaik masuk sahaja ke dalam taman burung, Husaini excited tengok macam-macam jenis burung yang ada. Dan memang nampaknya Husaini enjoy masa di sana. Habis satu taman burung dia pusing, sampai semua orang lain lenguh kaki. Dari burung kakak tua, burung helang, burung enggang, burung flamingo, burung unta, burung emu, dan entah macam-macam jenis burung lagi Husaini tengok.

Nasib baik cuaca elok masa ke sana semalam. Alhamdulillah, lebih kurang 2 jam di sana menyeronokkan Amir Husaini. Insya-Allah lepas nie, ayah bawa pergi tempat lain pulak.

Friday, April 06, 2007

Jalan-jalan

Satu kegemaran Amir Husaini ialah jalan-jalan. Kalau ke pusat membeli-belah, memang dia tak nak didukung. Sebaliknya dia suka untuk berjalan. Cuma yang bagusnya, bila Husaini berjalan, dia akan pegang tangan ayah atau mama. Bila dia dah letih, baru dia minta didukung... itupun untuk sekejap, sebelum dia minta untuk berjalan semula.

Kalau ada masa sebelah petang selepas balik kerja, ayah akan bawa Husaini jalan-jalan di depan rumah. Biasanya kalau Husaini banyak berjalan, sebelah malam dia senang tidur awal. Mungkin sebab letih agaknya.

Monday, April 02, 2007

Sepupu baru

Shaikh Amir Husaini dapat 2 sepupu baru dalam tempoh 2 minggu nie.

Sepupu pertama sebelah ayah iaitu anak kedua kepada Ami (Uncle) Hanafiah dan Khala (Auntie) Liza yang lahir pada 18 Mac 2007 yang lalu. Namanya Siti Nadiatul Ayuni.

Sepupu kedua pula ialah sebelah mama iaitu anak kedua kepada Mak Su Zana dan Pak Su Halim yang lahir pada 28 Mac 2007 yang lalu. Namanya Nabil Hakimi.

So, tahniah kepada kedua-dua pasangan ibu bapa tadi. Moga dengan pertambahan ahli keluarga yang baru ini akan bertambah lagi rezeki keluarga, insya-Allah.

Monday, March 19, 2007

Gunting rambut

Hari Jumaat lepas, Amir Husaini dibawa untuk pertama kalinya gunting rambut di kedai gunting di KL. Alhamdulillah, takde masalah yang timbul. Husaini diam saja masa gunting rambut. Disuruh tunduk, dia tunduk... walaupun mata dia cuba jeling ke arah cermin nak tengok apa yang berlaku.

Lepas gunting rambut, nampak kemas sikit. Dalam cuaca panas sekarang, it's better to have short hair.

Tuesday, February 27, 2007

Lama menyepi

Memang lama sungguh tak update blog Amir Husaini nie. Antaranya sebab tak banyak sangat cerita dan gambar baru. Kekadang fikir nak kena cari kamera digital untuk mudahkan ambil gambar dan terus upload ke blog nie.

Insya-Allah 2 Mac nie usia Amir Husaini akan cecah 1 tahun 10 bulan. Sekarang nie Amir Husaini dah makin petah bercakap. Perbendaharaan katanya dah makin banyak. Kekadang tak terlayan buah butir Husaini. Dia pun dah makin banyak perkara boleh buat sendiri. Kalau ada benda yang dia nak, dia dah pandai minta.

Tuesday, January 16, 2007

Aiskrim

Biasanya kanak-kanak minat makan aiskrim. Semalam Mama Husaini beli aiskrim. Nampaknya bila disuap aiskrim kepada Husaini, dia tak berapa suka. Belum pernah lagi jumpa kanak-kanak yang tak suka aiskrim.

Oh, well... agaknya there's a first time for everything.

Wednesday, January 03, 2007

Petah

Masuk tahun baru nie, nampaknya Amir Husaini dah semakin petah bercakap. Bagi usianya yang baru mencecah 1 tahun 8 bulan, nampaknya dia dah boleh berkomunikasi dengan orang. Ada masa tu, sampai tak terlayan buah butir yang terucap dari mulut Husaini.

Apapun, alhamdulillah, sebab Husaini agak cepat belajar bercakap. Tak payah nak risau nak cari daging burung rebus buat sup bagi dia makan.