Saturday, October 17, 2009

Doktor gigi

Buat pertama kali, Amir Husaini berjumpa dengan doktor gigi pada hari Khamis yang lalu. Ayah bawa Husaini ke Klinik Dr Fauziah di Taman Melawati. Klinik gigi ini direkemen oleh Pak Anjang. Kata Pak Anjang, Dr Fauziah pandai ambil hati kanak-kanak.

Memang benar. Dr Fauziah seorang yang mesra dengan kanak-kanak. Husaini, walaupun pada awalnya nampak sedikit gemuruh, menjadi tenang semasa duduk di atas kerusi pemeriksaan. Malah, suasana di dalam klinik amat ceria dan mesra kanak-kanak. Ada dua akuarium besar yang boleh menarik perhatian kanak-kanak. Ada krayon dan kertas lukisan untuk mengisi masa sementara menunggu giliran. Ada buku kanak-kanak yang boleh dibaca.

Husaini kena tampal 2 batang gigi. Alhamdulillah, sepanjang proses penampalan, Husaini nampak rileks. Dan selepas selesai semuanya, Husaini diberikan stiker Ben 10.

Petang tadi, apabila ayah pulang dari pejabat, Husaini terus berkata, "Ayah, nak pergi doktor gigi!"