Tuesday, July 10, 2007

Baca buku pukul 4 pagi

Dua tiga malam kebelakangan nie Amir Husaini kerap jaga pukul 3 pagi atau 4 pagi. Biasanya kalau dia jaga, bila diberi susu dia akan tidur balik. Tapi semenjak dua menjak nie, dia nak main atau sembang dulu sebelum tidur balik.

Al-kisah pagi tadi, dia jaga pukul 4 pagi. Kali nie, dia minta diambilkan buku-buku ceritanya dan minta mama bacakan buku-buku tu. Memang biasa kalau sebelum tidur dia akan minta bacakan buku-buku ceritanya. Tapi ini kali pertama dia minta macam tu pada jam 4 pagi. Alhamdulillah, macam biasa, lepas baca buku cerita (yang ceritanya dia dah khatam dan hafal), Husaini pun tertidur.

Saturday, July 07, 2007

Merah jambu

Amir Husaini banyak koleksi kereta mainannya. Ada yang besar, ada yang kecil. Warna pun macam-macam. Dari semasa ke semasa, Husaini akan ajak ayah main kereta mainannya. Petang tadi pun sama. Cuma saja ayah tanya Husaini warna-warna kereta mainannya sebab nak tengok sejauh mana dia cam warna.
Ayah: Kereta nie warna apa? [sambil tunjuk kereta warna kuning]
Husaini: Kuning
Ayah: Kereta nie warna apa? [sambil tunjuk kereta warna merah]
Husaini: Merah
Ayah: Kereta nie warna apa? [sambil tunjuk kereta warna merah jambu]
Husaini: [Diam]
Ayah: Merah jambu
Husaini: [Diam lagi]
Ayah: Merah jambu [mengharapkan Husaini akan mengulang ikut ayah]
Husaini: Pink!

Sabar ajerlah.

Friday, July 06, 2007

Top Lullaby

Hehehe.. sebenarnya tiap-tiap malam masa nak tidur, Amir Husaini akan suruh mama dodoikan dia dengan lagu-lagu tertentu. So, berikut adalah lagu-lagu kegemaran Husaini masa nak tidur (walaupun bukanlah lullaby technically speaking):
  1. Lagu ABC
  2. Burung Kakaktua
  3. Seekor Labah-labah (Itsy Bitsy Spider versi Melayu)
  4. Bangau oh Bangau
  5. Kereta Kecil Warna Merah
  6. Lagu Tiga Kupang
  7. Pak Mamat Ada Kebun

Thursday, July 05, 2007

Gigi serpih

Semalam salah satu gigi kacip Amir Husaini terserpih. Pelik juga sebab dia takde jatuh ke apa ke. Yang serpih tu bahagian hujung gigi, jadi yang tinggal tu walaupun banyak lagi tapi agak tajam. Husaini nampak tak berapa selesa semalam dengan keadaan gigi yang terserpih tu. Risau juga takut dia tergigit lidah dengan gigi yang tajam tu. Harapnya takde apa-apa.

Nak kata Husaini banyak makan junkfood, tidak juga. Coklat jarang sekali. Aiskrim lagilah dia tak suka. Gula-gula memang mama dengan ayah tak pernah bagi. Jadi berkemungkinan gigi Husaini serpih bukan sebab makanan bergula atau manis, tapi sebab kurang kalsium. Kebelakangan nie memang dia kurang minum susu. Nampaknya kena bagi supplement kalsium kat Husaini lepas nie.

Tuesday, July 03, 2007

Dah mula baca ABC

Amir Husaini mula ikut orang baca ABC menjelang Aidilfitri tempoh hari. Kalau sebelum nie, Husaini hanya ikut mama dengan ayah baca ABC, sekarang nie dia dah boleh baca sendiri, walaupun ada huruf-huruf tertentu yang dia tertinggal. Tapi kira not bad laa untuk budak umur 2 tahun.

Sudah jadi kebiasaan Husaini suruh mama nyanyi lagu ABC waktu nak tidur. Dia akan ikut mama sebut huruf-huruf tu, dan kebelakangan nie, alhamdulillah Husaini dah mula boleh sebut sendiri turutan ABC tanpa ikut sesiapa. Lepas nie nak kena kenalkan huruf pula kepada Husaini.

Cuma yang menariknya, bila ayah baca buku, Husaini akan tunjuk kepada tulisan yang ada di dalam buku, dan dia akan kata, "Tulisan!" Maknanya Husaini dah boleh kenal yang mana tulisan, yang mana gambar, yang mana lukisan dan lain-lain.

Monday, July 02, 2007

Imbuhan 'kan'

Biasanya kanak-kanak umur 2 tahun jarang dapat memahami fungsi imbuhan di dalam membina ayat percakapan. Jadi bayangkan bagaimana ayah dengan mama terperanjat dengan kemampuan Amir Husaini menggunakan imbuhan "kan" di dalam percakapan hariannya. Kita yang dah dewasa nie pun jarang gunakan imbuhan "kan" di dalam percakapan harian kita.

Misalnya, kalau Husaini nak suruh bibik ambil sesuatu, dia akan kata, "Bibik ambilkan." Atau kalau Husaini nak suruh ayah atau mama buang kertas atau apa-apa yang dah tak pakai, dia akan kata, "ayah/mama buangkan." Kebanyakan kita rasanya tak akan menggunakan imbuhan "kan" ini semasa bercakap, tapi Husaini guna. Dari segi nahu memang tak salah, malah ayah rasa Husaini lebih betul di dalam perkara ini.

Sekarang nie pun, penguasaan perkataan Husaini dah semakin banyak. Alhamdulillah, dia cakap pun dah semakin terus dan laju.

Monday, June 25, 2007

Pusing-pusing Putrajaya

Hari nie ayah bawa Amir Husaini pusing-pusing di Putrajaya. Ini first trip Husaini ke Putrajaya. Sebenarnya takdelah banyak tempat sangat yang disinggah sebab cuaca agak terik untuk jalan-jalan di luar. Ayah bawa pusing-pusing sekitar Putrajaya lepas tu berhenti di Dataran Putrajaya ambil gambar sambil tengok pemandangan di Tasik Putrajaya. Sempat ler jugak Husaini tengok bot lalu di situ. Ramai jugak pelancong di situ, mungkin sebab hujung minggu. Susah gak nak ambil gambar dengan orang ramai dok lalu-lalang, tapi dapat jugak laa ambil a few shots untuk kenangan.

Friday, June 22, 2007

Antara Giant dengan Carrefour

Selalunya Amir Husaini ajak mama dengan ayah pergi Giant. Memang dia minat sangat jalan ke Giant. Entah apa yang best di situ pun tak tahu. Tapi semalam dia kata dia nak pergi Carrefour pulak. Dialognya lebih kurang gini:
Amir Husaini: Nak pi Apu! [Carrefour]
Mama: Tak nak pi Giant?
Amir Husaini: Nak pi Apu!
Mama: Carrefour kecik [merujuk kepada Giant] tak nak
pergi?
Amir Husaini: Nak pi Apu besaq!
Mama: Apu besaq kat mana?
Amir Husaini: Giant!
Hehehehe...

Monday, June 18, 2007

Teman baca

Semalam Tok Abah, Mak Tok dengan Khala Liyana balik semula ke kampung. Walaupun kali nie, Amir Husaini tak bertanya sangat ke mana pergi semua orang, tapi nampak jelas dia agak boring waktu di rumah. Biasanya kalau Tok Abah dengan Mak Tok tak ada, Husaini akan banyak menempek dengan mama atau ayah.

Biasanya kalau ayah start baca buku, Husaini pun nak baca sama. Akhirnya ayah yang give up, letak buku di tepi dan baca balik lepas Husaini tidur. Tapi semalam, masa ayah tengah baca, Husaini macam biasa menunjukkan minat. Cuma bezanya semalam, dia tak kacau. Sebaliknya dia baring tepi ayah (dan ada kalanya atas perut ayah) temankan ayah baca buku.

Kalau lepas nie Husaini macam nie gak, senanglah sikit ayah buat kerja. Tak perlu tunggu lepas Husaini tidur.

Sunday, June 17, 2007

Basuh daun

Kadang kala bila Amir Husaini bercakap, ada istilah yang agak unik yang digunakannya untuk describe sesuatu. Dari segi konsep dan pemahamannya mengenai perkara yang didescribe itu mungkin tak salah, cuma bagi orang dewasa ianya menjadi lucu.

Contohnya, semalam, mama beritahu ayah tentang satu frasa yang digunakan oleh Husaini. Frasa yang dimaksudkan ialah "basuh daun." Memang, kalau difikirkan tentang frasa ini maksudnya agak pelik. Kenapa perlu dibasuh daun? Lainlah kalau nak basuh tangan, basuh baju atau benda-benda yang kotor lain.

Rupa-rupanya, bagi Amir Husaini, "basuh daun" bermaksud "siram pokok." Agaknya bila Husaini tengok pokok disiram, daunnya menjadi basah. Selama nie, Husaini faham yang sesuatu menjadi basah selepas dibasuh. Jadi, adalah logik bagi Husaini kalau dia guna frasa "basuh daun" dalam kes nie sebab daun pokok basah, jadi mestilah daun tu dibasuh!

Monday, June 11, 2007

Sepetang di Giant

Hari Sabtu lepas bawa Amir Husaini shopping di tempat kegemarannya... Giant. Masa ayah baru parking kereta, tiba-tiba Husaini terus mengira. Dialognya kira-kira macam berikut:
Amir Husaini: 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9!
Mama: Mana pergi nombor 1?
Amir Husaini: 1 tinggal di umah!

Hehehehe, ayah dengan mama gelak jer laa bila dengar respons Husaini.

Saturday, June 09, 2007

Uban

Semalam lepas solat Isyak, ayah terperanjat sebab ternampak rambut uban di kepala Amir Husaini. Bila dibelek-belek dengan lebih dekat, memang sah ada sehelai rambut uban dan beberapa helai lagi yang hampir menjadi uban. Ini kali pertama ayah jumpa uban pada kanak-kanak umur 2 tahun.

Bila diberitahu perkara nie kepada mama, mama kata mungkin Husaini banyak sangat fikir sampai beruban rambut. Masa mama tengah mengandungkan Husaini dulu, mama tengah buat Master. Jadi agaknya dari dalam perut lagi Husaini dah banyak fikir sebab ikut mama belajar sama.

Thursday, June 07, 2007

Pandai mengarang ayat

"Pandai mengarang ayat" - itu komen dari Tok masa balik kampung minggu lepas. Mama pulak bagi tahu ayah yang Amir Husaini dah boleh dibuat teman bersembang. Dia dah boleh faham apa yang kita cakap hampir sepenuhnya, dan dia dah pandai bagi respons.

Masa di kampung hari tu, sempat ambil beberapa gambar Amir Husaini dengan Tok. The picture accompanying this entry is one of them: Gambar Tok dengan Nabil Hakimi dan Amir Husaini.

Wednesday, June 06, 2007

Dah pandai kira

Dua hari lepas, ayah belikan Amir Husaini 10 buah kereta mainan kecil. Memang Husaini minat dengan kereta-kereta macam nie. Dan biasanya bila dapat mainan baru, memang tak akan lekang dari tangannya.

Anyway, semalam masa Husaini main kereta mainan dia, agak terperanjat juga bila dia kira satu-satu keretanya. Memang Husaini dah boleh sebut 1 sampai 10, tapi bukan dalam konteks mengira. Semalam, bila dia pegang sebuah kereta, dia sebut "satu." Pegang kereta kedua, dia sebut "dua." Pegang kereta ketiga, dia sebut "tiga." Dan begitulah sampai akhirnya.

Nampaknya Amir Husaini dah mula faham konsep nombor dan kaitannya dengan mengira.

Tuesday, June 05, 2007

Jumpa sepupu di kampung

Minggu lepas, Amir Husaini balik kampung hampir seminggu. Masa di kampung, Husaini sempat jumpa for the first time cousin baru, Nabil Hakimi, yang kini umurnya 2 bulan lebih. Nampak Husaini berminat betul dengan adik baru yang seorang nie.

Mungkin Husaini dah bersedia nak jadi abang agaknya?

Sunday, May 27, 2007

Balik kampung

Insya-Allah pada hari Selasa nie, kami sekeluarga akan pulang ke Kulim untuk lebih kurang seminggu bersempena cuti sekolah. Ini kali pertama kami pulang ke kampung pada tahun ini. Rasanya bagi Amir Husaini, pengalaman balik kampung memang selalunya menyeronokkan. Ayah akan cuba rakamkan seberapa banyak mungkin pengalaman Amir Husaini di Kulim nanti, insya-Allah.

Saturday, May 26, 2007

Naik LRT

Sebelum nie, bila Amir Husaini keluar jalan-jalan, bila nampak saja LRT ke KL Monorel ke KTM Komuter ke, memang dia excited. Cuma selama nie, dapat tengok dari jauh saja. Tapi hari nie first time Amir Husaini dapat naik LRT. Punyalah excited bukan main bila dapat tengok LRT dari dekat masa LRT sampai di stesen. Husaini naik dari Setiawangsa ke Ampang Park, dan lepas tu balik semula ke Setiawangsa.

Memang seronok Husaini bila dapat naik LRT. Cumanya dia tak puas, mungkin sebab trip tu singkat sangat. Masa di rumah dia asyik beritahu nak naik lagi. Takpalah, lepas nie kalau ada kelapangan, ayah dengan mama bawa Amir Husaini naik LRT lagi, insya-Allah.

Sunday, May 20, 2007

Ceria di Aquaria

Hari nie ayah dengan mama bawa Amir Husaini pergi Aquaria. Kami sampai di Aquaria selepas pukul 11 pagi - waktu tu Aquaria baru saja dibuka, jadi belumlah ramai sangat orang. Kebetulan sekarang nie di Aquaria tengah ada pameran penyu. Masuk-masuk saja dapat tengok banyak jenis penyu.

Bila masuk terowong di Aquaria, Husaini dapat tengok banyak ikan dan hidupan laut yang lain. Memang Husaini nampak leka masa lalu di terowong. Antara ikan yang paling menarik perhatian Husaini di terowong ialah ikan jerung dan ikan pari. Ikan pari besar beberapa kali berenang di atas bumbung terowong.

Husaini juga bernasib baik sebab dapat tengok 'feeding show.' Masa 'feeding show' tengah berjalan, Husaini pegang dinding akuarium sambil tengok ikan diberi makan. Lama juga rasanya Husaini dok perhatikan ikan-ikan diberi makan.

Rasa macam tak puas di Aquaria sebab dalam sejam dah habis tengok semua benda. Jadi ayah dengan mama decide bawa Husaini pusing terowong Aquaria untuk kali kedua. Sekali lagi masa di terowong, Husaini leka dengan ikan-ikan yang berenang dekat dengan kaca akuarium.

Selesai semuanya, ayah dengan mama bawa Husaini ke Atlantis Gift Shop sebelum keluar dari Aquaria. Di situ, ayah dengan mama belikan Husaini baju t-shirt Aquaria dengan stuffed clown fish.

Lebih kurang pukul 12.30 tengah hari, kami semua pun berangkat balik. Husaini nampak ceria di Aquaria. Belum pernah dia tengok ikan sebanyak dan sebesar itu. Insya-Allah bulan depan ayah bawa pergi tempat lain pulak.

Sunday, May 06, 2007

Kenduri kesyukuran

Hari nie Amir Husaini menghadiri kenduri kesyukuran kelahiran sepupunya, Siti Nadiatul Ayuni (gambar sebelah) di Cheras. Ini kali pertama dalam satu tempoh yang agak lama, semua ahli keluarga dapat berkumpul bersama, kerana sebelum ini Ami Hanafiah (papa Ayuni) berlayar. Ami Hanafiah baru balik ke darat pada hari Jumaat lepas selepas lebih kurang 7 bulan di atas kapal.

Wednesday, May 02, 2007

Ulang tahun kedua

Hari ini, tanggal 2 Mei 2007, genaplah usia dua tahun bagi Shaikh Amir Husaini. Ayah dan mama doakan Amir Husaini akan terus membesar dengan sihat, ceria dan gembira. Moga kehidupan Amir Husaini akan diberkati dan dirahmati Allah Taala hendaknya, dan moga menjadi anak yang soleh yang dapat berbakti kepada agama, bangsa, negara, masyarakat dan keluarga.

Hari ini juga, ulang tahun pertama blog Amir Husaini. Insya-Allah blog ini akan diteruskan dengan pelbagai maklumat perkembangan Amir Husaini dari semasa ke semasa.