Friday, May 05, 2006

Didik anak

Antara perkara yang paling dibimbangi oleh saya sebelum bergelar ayah ialah bagaimana caranya nak mendidik anak tentang Islam. Apa lagi dalam dunia yang penuh dengan pelbagai macam dugaan ini, pastinya kebimbangan ini amat berasas. Hingga hari ini, setelah setahun bergelar ayah, kebimbangan ini masih kuat.

Saya teringat waktu Amir Husaini masih di dalam kandungan mamanya. Dia amat aktif dan responsif. Waktu itu mamanya sibuk dengan 2 semester akhir pengajian Sarjana Pendidikannya di UM. Kata mama Husaini, tiap-tiap kali dalam kuliah, waktu pensyarah bercakap, Husaini cukup aktif. Saya gembira mendengar perkara ini kerana bagi saya, itu petanda positif yang Amir Husaini, insya-Allah Taala, akan menjadi seorang yang cintakan ilmu. Setakat ini telah nampak tanda-tanda ini. Husaini cukup minat dengan buku. Tak kiralah, buku ABC ke, majalah ke, buku ayah dia ke, dia akan ambil dan minta siapa-siapa yang ada untuk bacakan kepadanya. Bila baca, dia dengar dengan setia. Ada kalanya dia turut menyebut perkataan yang kita sebut.

Saya juga teringat waktu Amir Husaini di dalam kandungan, mak mertua saya pesan suruh baca 3 surah untuk didengari oleh bayi yang sedang dikandung. Surah Yunus, supaya mamanya senang bersalin. Surah Luqman, supaya nasihat-nasihat berguna Luqman al-Hakim didengar oleh bayi. Surah Yusuf, supaya bayi yang dikandung mempunyai rupa paras yang cantik dan sempurna. Saya lakukan semua ini, dan berdoa setiap hari setiap kali solat moga Amir Husaini menjadi seorang anak yang beriman, beramal soleh, bertaqwa dan berilmu pengetahuan. Amin!

Saya juga teringat waktu Amir Husaini lahir ke dunia ini. Bila diserahkan bayi comel ini ke tangan saya untuk diazankan, dia berhenti menangis. Bila saya laungkan azan, saya perhati wajahnya. Dia melihat saya dengan penuh taat, seolah-olah menghayati setiap perkataan yang saya laungkan di dalam azan itu. Saya hampir sebak kegembiraan kerana tidak sangka puteraku ini akan khusyuk mendengar azan.

Hingga hari ini, setiap kali azan berkumandang sama ada di tv atau di surau berhampiran, Amir Husaini akan berhenti dari apa yang dilakukannya. Dia akan dengan azan dengan khusyuk, dan akan menarik tangan orang yang berada dengannya seolah-olah memberitahu yang azan sedang berkumandang. Kalau azan di tv, dia akan merangkak dengan laju ke depan tv untuk dengan azan yang sedang bergema.

Setiap kali saya atau mamanya solat di rumah, Amir Husaini akan merangkak untuk melihat kami solat. Sering kali dia seperti mahu solat sama. Bila dia berada di atas sejadah, dia akan sujud. Dan dia juga sudah pandai sebut "Allah!"

Saya juga tersentuh, kerana Amir Husaini walaupun usianya masih kecil dan belum mengerti banyak perkara, sudah pandai menghulurkan tangan untuk menyambut salam orang. Bukan setakat salam, dia juga akan menarik tangan orang itu untuk diciumnya.

Saya cuma doakan yang terbaik untuk anakku Amir Husaini. Saya cuma boleh berikannya pendidikan dan persiapan sekadar termampu, tetapi saya berikan yang terbaik. Saya berdoa moga Allah Taala memberikan saya kekuatan dan kebijaksanaan untuk mendidik Amir Husaini.

Amin!

No comments: