Monday, July 30, 2007

Perut punya cerita

Semalam waktu mama tengah masak, Amir Husaini minta ayah dukung sebab nak tengok mama masak. Masa tengah dukung Husaini, ayah tanyalah kat Husaini, "Husaini, adik mana?"

Dengan spontan, Husaini gerakkan tangannya dan nak letakkan tangannya di perut ayah. Tiba-tiba bila dah dekat dengan perut ayah, tangan Husaini terhenti. Agaknya baru dia perasan kot. Terus dia tunjuk kat perut mama. "Adik kat dalam perut mama," katanya.

Mama dengan ayah tersenyum.

Moral of the story: Ayah kena kurangkan "keboroian" perut ayah.

Thursday, July 26, 2007

Mengigau

Semalam ayah tidur lewat sebab buat kerja sikit. Masa ayah masuk tidur, waktu dah dekat pukul 4 pagi. Tiba-tiba ayah dengar suara Amir Husaini. Biasanya sekitar waktu nie, Husaini akan minta susu. Tapi semalam, ayah dengar Husaini sebut, "Paper lama. Paper lama."

Isy, mengigau rupanya.

Tuesday, July 24, 2007

Abang Husaini

Tak lama lagi (bulan Oktober nie) insya-Allah, Amir Husaini akan bergelar abang. Sekarang nie pun, ada masanya Husaini membahasakan dirinya sebagai Abang Husaini. Tak macam sesetengah budak yang akan dapat adik, nampaknya Husaini taklah memerap sangat. Dari semasa ke semasa, dia akan pergi kat mama dan kata nak peluk adik. Lepas tu, dia pun peluklah perut mama tu. Tadi sebelum tidur pun, dia pegang perut mama. Waktu tu adik tengah gerak-gerak. Punyalah seronok Husaini bila adik bergerak.

Hopefully bila sampai masanya nanti, Husaini akan jadi abang yang akan ambil berat dan jaga adiknya dengan baik, insya-Allah.

Thursday, July 19, 2007

Demam nak banyak cakap

Sebenarnya dah lama Amir Husaini tak demam. Minggu nie Husaini ada demam sikit campur dengan selesema. Tapi taklah serius sangat. Cumanya sekarang nie, semua orang perasan yang Husaini makin banyak bercakap dan vocabulary dia jugak dah bertambah power. Ayat dia pun dah semakin panjang. Kadang-kadang bila dengar dia bercakap, tak sangka dia faham dan tahu menggunakan satu-satu perkataan tu.

Alhamdulillah, hari nie nampaknya Amir Husaini dah semakin sihat. Demam pun dah tak ada, cuma selesema saja sikit-sikit kalau sejuk.

Sunday, July 15, 2007

Jalan sakan

Semalam, Amir Husaini berjalan sakan. Mula-mula pergi kenduri di rumah Ami Hanafiah. Ami Hanafiah baru beli rumah di Alam Damai, Cheras. Jadi dia buat kenduri doa selamat dan tahlil sebelum pindah masuk ke rumah baru. Di sini Husaini jumpa sepupu-sepupu - Kakak Amira dan Adik Ayuni. Kakak Amira tak layan sangat Husaini sebab dia sibuk main dengan kawan-kawan dia. Tapi dengan Adik Ayuni, Husaini suka betul. Siap pegang tangan dengan cium pipi. Nyaris Husaini nak angkat Adik Ayuni, tapi nasib baik mama nampak. Hehehe...

Lepas tu, pergi pula ke Putrajaya rumah Tok Kim. Di situ, Husaini jumpa Tok Kim, Tok Mah, Tok Noor, Tok Hamzah dan Tok Faridah. Mereka nie semua adalah adik-adik Tok Abah, jadi kira pangkat datuk saudara dengan nenek saudara kepada Husaini.

Sebelum balik rumah, singgah dulu di Alamanda. Saja jalan-jalan di situ dengan Tok Abah, Mak Tok dengan Khala Liyana. Mama beli biskut di Famous Amos. Ayah pula bawa pergi kedai MPH. Di MPH, Husaini macam biasa seronok bukan main bila nampak buku. Ayah beli dua buku untuk Husaini. Tak sempat keluar kedai, Husaini terus ambil buku, duduk di satu sudut kedai MPH dan baca buku.

Lepas tu bila dah dalam perjalanan balik, Husaini terus tertidur dalam kereta. Agaknya letih sangat sebab jalan sakan.

Tuesday, July 10, 2007

Baca buku pukul 4 pagi

Dua tiga malam kebelakangan nie Amir Husaini kerap jaga pukul 3 pagi atau 4 pagi. Biasanya kalau dia jaga, bila diberi susu dia akan tidur balik. Tapi semenjak dua menjak nie, dia nak main atau sembang dulu sebelum tidur balik.

Al-kisah pagi tadi, dia jaga pukul 4 pagi. Kali nie, dia minta diambilkan buku-buku ceritanya dan minta mama bacakan buku-buku tu. Memang biasa kalau sebelum tidur dia akan minta bacakan buku-buku ceritanya. Tapi ini kali pertama dia minta macam tu pada jam 4 pagi. Alhamdulillah, macam biasa, lepas baca buku cerita (yang ceritanya dia dah khatam dan hafal), Husaini pun tertidur.

Saturday, July 07, 2007

Merah jambu

Amir Husaini banyak koleksi kereta mainannya. Ada yang besar, ada yang kecil. Warna pun macam-macam. Dari semasa ke semasa, Husaini akan ajak ayah main kereta mainannya. Petang tadi pun sama. Cuma saja ayah tanya Husaini warna-warna kereta mainannya sebab nak tengok sejauh mana dia cam warna.
Ayah: Kereta nie warna apa? [sambil tunjuk kereta warna kuning]
Husaini: Kuning
Ayah: Kereta nie warna apa? [sambil tunjuk kereta warna merah]
Husaini: Merah
Ayah: Kereta nie warna apa? [sambil tunjuk kereta warna merah jambu]
Husaini: [Diam]
Ayah: Merah jambu
Husaini: [Diam lagi]
Ayah: Merah jambu [mengharapkan Husaini akan mengulang ikut ayah]
Husaini: Pink!

Sabar ajerlah.

Friday, July 06, 2007

Top Lullaby

Hehehe.. sebenarnya tiap-tiap malam masa nak tidur, Amir Husaini akan suruh mama dodoikan dia dengan lagu-lagu tertentu. So, berikut adalah lagu-lagu kegemaran Husaini masa nak tidur (walaupun bukanlah lullaby technically speaking):
  1. Lagu ABC
  2. Burung Kakaktua
  3. Seekor Labah-labah (Itsy Bitsy Spider versi Melayu)
  4. Bangau oh Bangau
  5. Kereta Kecil Warna Merah
  6. Lagu Tiga Kupang
  7. Pak Mamat Ada Kebun

Thursday, July 05, 2007

Gigi serpih

Semalam salah satu gigi kacip Amir Husaini terserpih. Pelik juga sebab dia takde jatuh ke apa ke. Yang serpih tu bahagian hujung gigi, jadi yang tinggal tu walaupun banyak lagi tapi agak tajam. Husaini nampak tak berapa selesa semalam dengan keadaan gigi yang terserpih tu. Risau juga takut dia tergigit lidah dengan gigi yang tajam tu. Harapnya takde apa-apa.

Nak kata Husaini banyak makan junkfood, tidak juga. Coklat jarang sekali. Aiskrim lagilah dia tak suka. Gula-gula memang mama dengan ayah tak pernah bagi. Jadi berkemungkinan gigi Husaini serpih bukan sebab makanan bergula atau manis, tapi sebab kurang kalsium. Kebelakangan nie memang dia kurang minum susu. Nampaknya kena bagi supplement kalsium kat Husaini lepas nie.

Tuesday, July 03, 2007

Dah mula baca ABC

Amir Husaini mula ikut orang baca ABC menjelang Aidilfitri tempoh hari. Kalau sebelum nie, Husaini hanya ikut mama dengan ayah baca ABC, sekarang nie dia dah boleh baca sendiri, walaupun ada huruf-huruf tertentu yang dia tertinggal. Tapi kira not bad laa untuk budak umur 2 tahun.

Sudah jadi kebiasaan Husaini suruh mama nyanyi lagu ABC waktu nak tidur. Dia akan ikut mama sebut huruf-huruf tu, dan kebelakangan nie, alhamdulillah Husaini dah mula boleh sebut sendiri turutan ABC tanpa ikut sesiapa. Lepas nie nak kena kenalkan huruf pula kepada Husaini.

Cuma yang menariknya, bila ayah baca buku, Husaini akan tunjuk kepada tulisan yang ada di dalam buku, dan dia akan kata, "Tulisan!" Maknanya Husaini dah boleh kenal yang mana tulisan, yang mana gambar, yang mana lukisan dan lain-lain.

Monday, July 02, 2007

Imbuhan 'kan'

Biasanya kanak-kanak umur 2 tahun jarang dapat memahami fungsi imbuhan di dalam membina ayat percakapan. Jadi bayangkan bagaimana ayah dengan mama terperanjat dengan kemampuan Amir Husaini menggunakan imbuhan "kan" di dalam percakapan hariannya. Kita yang dah dewasa nie pun jarang gunakan imbuhan "kan" di dalam percakapan harian kita.

Misalnya, kalau Husaini nak suruh bibik ambil sesuatu, dia akan kata, "Bibik ambilkan." Atau kalau Husaini nak suruh ayah atau mama buang kertas atau apa-apa yang dah tak pakai, dia akan kata, "ayah/mama buangkan." Kebanyakan kita rasanya tak akan menggunakan imbuhan "kan" ini semasa bercakap, tapi Husaini guna. Dari segi nahu memang tak salah, malah ayah rasa Husaini lebih betul di dalam perkara ini.

Sekarang nie pun, penguasaan perkataan Husaini dah semakin banyak. Alhamdulillah, dia cakap pun dah semakin terus dan laju.