Monday, July 21, 2008

Istana Lego

Kanak-kanak memang kreatif dan cepat belajar. Amir Husaini ada beberapa set Lego. Kalau dulu, dia sekadar susun Lego tu meninggi, sekarang nie dah macam-macam bentuk dia boleh buat. Paling seronok bila tengok dia buat bentuk castle.

Cuma Husaini nie cepat merajuk. Kalau adik dia, Ammar Qusyairi, robohkan istana Lego yang dibina, mesti menangis dan merajuk.

Sekarang nie dah tahu, kalau Qusyairi bergerak ajer ke arah istana Lego Husaini, cepat-cepat kena angkat si adik. Kalau tidak, habis roboh semua.

Friday, July 18, 2008

Huruf dan angka

Lama tak mengisi ruangan di sini. Apapun Amir Husaini sekarang dah semakin petah bercakap walaupun masih ada pelatnya di sana sini. Cuma yang menarik ialah Husaini sekarang dah mula dapat membezakan di antara huruf dan nombor, di samping dah mula kenal beberapa huruf dan nombor.

Semalam, Husaini bawa satu buku yang dibeli beberapa ketika dulu. Buku itu ialah buku untuk mengira. Husaini bawa dan minta ayah baca dengan dia. Dia akan tanya ini nombor berapa. Dan ayah akan tanya Husaini semula, ini nombor berapa. Dan Husaini akan jawab (sebab dia dah kenal nombor tersebut). Cuma bila dia tak dapat jawab barulah ayah akan beritahu nombor tersebut nombor beberapa.

Alhamdulillah, lega juga rasa bila dapat lihat Husaini dah mula mengenal huruf dan angka. Insya-Allah menjelang Husaini masuk tadika nanti, dia akan lebih cekap.

Monday, June 23, 2008

Cerita motor race

Amir Husaini kalau nampak sebarang motor besar, tak kiralah superbike ke motor saiz besar macam Jaguh ke, mesti dia akan sebut motor race. Sebabnya dia pernah tengok perlumbaan Grand Prix motor di kaca televisyen, jadi semenjak itu semua motor bersaiz besar dianggapnya motor race.

Hari Jumaat lepas, Husaini ikut balik ke Kulim. Masa di highway Utara-Selatan, sekitar kawasan Taiping, adalah satu motor Jaguh sedang ditunggang dengan agak perlahan. Dari jauh, Husaini dah nampak. Katanya, "Ada motor race."

Kemudian, bila kereta ayah memotong motor Jaguh tersebut, maka Husaini pun sempatlah memandang wajah penunggang motor race itu. Dengan spontan lagi selamba, Husaini pun berkata, "Tu bukan motor racelah. Tu pakcik!"

Kenapa Husaini kata macam tu? Sebab yang menunggang motor Jaguh dengan perlahan itu adalah seorang lelaki separuh abad (agaknya).

Kami yang di dalam kereta hanya mampu ketawa terkekeh-kekeh.

Monday, June 16, 2008

AH bertemu HI

Hari Sabtu lepas bawa Ammar Qusyairi ke Hospital Pakar Ampang Puteri untuk ambil ubat sebab selesema, demam dan batuk. Waktu tengah tunggu nak ambil ubat, tiba-tiba muncullah kelibat seorang pelakon terkenal yang namanya Hans Isaac. Dia pakai pakaian sukan (rasanya baru lepas main futsal agaknya). Bila dia jalan nampak terincut-incut sikit. Mungkin tercedera di kaki.

Anyway, ramailah orang dok perhati-perhati Hans Isaac nie. Si Amir Husaini lak tengah gelisah sebab lama sangat tunggu ubat adik dia. Dia pun jalan-jalan di sekitar tempat menunggu. Dan dengan selambanya, Amir Husaini jalan di belakang Hans Isaac beberapa kali. Bukan dia kenal pun siapa Hans Isaac.

Dan si Hans Isaac tu, agaknya kerana kesakitan atau kecederaannya, taklah ambil peduli sangat orang yang ada di situ. Muka nampak serius semacam, mungkin menahan sakit. Dan Husaini pun terus berjalan-jalan di belakang pelakon tersebut.

Mungkin orang lain yang ada di situ teruja agaknya dengan kehadiran Hans Isaac di hospital. Sebab dapat dengar dia orang bisik-bisik sebut nama pelakon itu. Tapi bila fikir balik, alangkah indahnya dunia kalau semua orang macam Amir Husaini. Tak peduli pun siapa Hans Isaac... sebab dia tak kenal!

Mungkin betullah kata sesetengah orang..., tak kenal maka tak cinta.

Atau dalam kes Amir Husaini..., tak kenal maka tak kisah!

Monday, May 19, 2008

Entri nombor 100

Lepas 2 tahun, entri di blog Amir Husaini ini telah mencecah entri yang ke-100.

Tak ada apa-apa yang special yang hendak dicatatkan, sekadar mengajak pengunjung sekalian untuk terus singgah di sini dari semasa ke semasa. Insya-Allah, akan diupdate blog ini secara istiqamah sebaik ada perkembangan baru.

Thursday, May 15, 2008

Makan apa tu?

Mama yang ambil gambar Amir Husaini tengah makan nie. Agaknya apa yang Husaini tengah makan ya? Nampak sedap... minta sikit...

Isy, lapar ler pulak bila tengok gambar nie.

Tuesday, May 13, 2008

Peace!

Lagi aksi Amir Husaini. Kali ini bergaya dengan isyarat "peace"!

Monday, May 12, 2008

Aksi mengira

Ini aksi Amir Husaini mengira....

Satu...

Dua...

Tiga dan ke atas tiada dalam gambar.

Yang adik pun dah start mengira. Tapi setakat satu jer.

Friday, May 09, 2008

Amir Husaini dan Ammar Qusyairi

Sekarang ini usia Ammar Qusyairi dah nak masuk 8 bulan. Jadi, di sini ingin dikongsikan dua keping gambar abang dan adik yang dirakamkan baru-baru ini.

Thursday, May 08, 2008

Return to Aquaria

Sebelum ini Amir Husaini dah pernah pergi Aquaria. Kali ini, sempena hari lahir ketiga, Amir Husaini dibawa ke Aquaria sekali lagi. Mak Tok, Tok Abah, Khala Liyana, adik Qusyairi, mama dengan ayah ikut sekali.

Actually, ayah nak bawa Amir Husaini pergi Zoo Negara sebab Husaini belum pernah sampai ke situ lagi. Cuma masalahnya, cuaca panas dan terik dicampur dengan kemungkinan hujan sebelah petang menyebabkan ayah membatalkan cadangan asal dan pinda kepada Aquaria. At least, Aquaria tertutup dan ada air-cond.

Macam biasa, Husaini teruja bila tengok ikan dan hidupan laut yang lain. Dan seperti biasa, bila keluar dari Aquaria kena lalu kedai souvenir, dan Husaini pun dapatlah "Nemo" sebagai tanda kenangan.

Wednesday, May 07, 2008

Potong kek birthday

Posting kali nie masih mengenai birthday ketiga Amir Husaini. Kali nie nak dikongsikan gambar Husaini potong kek. Masa Husaini tahu pasal kek birthday, memang dia teruja. Terus minta pisau nak potong kek.

Tuesday, May 06, 2008

Kek birthday

Masa birthday Amir Husaini tempoh hari, sempat jugalah tempah kek. Tapi keknya simple saja, takde candles dan takdelah decorate canggih-canggih sangat sebab Amir Husaini agak cerewet.

So, untuk birthday hari tu, tempah chocolate moist cake yang disprinkle dengan chocolate rice. Ada gak strawberry pada kek tu tapi Husaini letak strawberry tu di tepi. Yang ditujunya chocolate rice. Husaini memang minat chocolate rice. Boleh diratah begitu saja.

Monday, May 05, 2008

Ulang tahun kedua blog

Selain daripada ulang tahun kelahiran Amir Husaini yang ketiga pada 2 Mei yang lalu, satu lagi ulang tahun adalah ulang tahun blog ini yang kedua. Kini blog Amir Husaini ini sudah mencecah usia dua tahun. Walaupun mungkin jarang dikemas kini, blog ini terus beroperasi. Apabila ada kisah baru dan menarik mengenai Amir Husaini, insya-Allah akan dimasukkan ke dalam posting blog ini. Jadi janganlah segan-silu untuk terus singgah di blog Amir Husaini!

Friday, May 02, 2008

Happy 3rd Birthday, Amir Husaini!

Hari ini, tanggal 2 Mei 2008, genaplah usia Shaikh Amir Husaini menjadi 3 tahun.

Kehadiran Amir Husaini di dalam keluarga ini sememangnya sesuatu yang amat berharga. Untuk itu, daripada ayah dan mama, diucapkan selamat hari lahir ketiga untuk Amir Husaini yang tersayang. Didoakan agar Amir Husaini akan menjadi seorang yang beriman, bertaqwa, beramal soleh dan berilmu pengetahuan. Itulah doa ayah setiap hari untuk Amir Husaini.

Happy birthday, son.

Thursday, April 17, 2008

Amir Husaini - Itu Kamu

Sudah lama blog ini tidak dikemas kini. Apapun seperti yang dijanjikan sebelum ini, di bawah adalah klip video Amir Husaini menyanyikan lagu "Itu Kamu."

Monday, February 04, 2008

Muqaddam

Sekarang, Amir Husaini dah mula baca Muqaddam. Minggu lepas ayah belikan Muqaddam untuk Husaini. Di rumah, Tok Abah yang ajar Husaini baca "alif, ba, ta..."

Rasanya usia Husaini sekarang memang sesuai untuk mula belajar Muqaddam. Setidak-tidaknya, dia dah boleh kenal huruf-huruf jawi supaya memudahkan Husaini belajar mengaji nanti.

Thursday, January 31, 2008

Itu Kamu

Semua maklum yang lagu "Itu Kamu" nyanyian kumpulan Estranged menjadi Juara Lagu 22 baru-baru nie. Tapi rasanya tak semua maklum yang lagu kegemaran Amir Husaini sekarang adalah lagu "Itu Kamu."

Memang pantang Husaini dengan lagu "Itu Kamu." Bila dengar saja lagu nie, Husaini pun akan nyanyi sama. Tapi dia cuma nyanyi part yang ada perkataan "itu kamu" sahaja. Khala Liyana ada rakamkan aksi Husaini nyanyi lagu nie di dalam handphone dia. Nantilah, bila Khala dapat transferkan file tu ke PC bolehlah diupload ke sini.

Monday, January 21, 2008

Aksi tidur

Memang menarik kalau lihat Amir Husaini tidur. Ayah dengan mama sempat merakamkan beberapa aksi Husaini ketika dibuai mimpi.


Wednesday, January 02, 2008

Tahun baru

Dengan bermulanya tahun 2008, maka akan bertambahlah usia Amir Husaini. Sekarang, Husaini dah mencecah usia 2 tahun 8 bulan. Rasa sekejap sahaja masa berlalu.

Kepada semua pengunjung blog ini, diucapkan selamat menyambut tahun baru 2008.

Thursday, December 20, 2007

Selamat Hari Raya Aidiladha

Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha diucapkan buat semua pengunjung blog Amir Husaini. Semoga segala ibadah kita diterima oleh Allah SWT hendaknya, insya-Allah.