Friday, September 28, 2007

Mood baik

Hari nie Ammar Qusyairi balik dari hospital. Nampaknya mood Amir Husaini lebih baik. Dia tak lasak sangat. In fact, dia nampak lebih ceria bila adik ada di rumah hari nie. Hopefully, mood Husaini akan dapat dikekalkan pada tahap seperti hari ini.

Wednesday, September 26, 2007

Lasak

Semenjak Amir Husaini jadi abang nie, nampaknya dia makin lasak. Mama kata, mungkin sebab Husaini nak grab attention semua orang yang bertumpu kat adik. Cuma yang meletihkan, bila Husaini tak ikut cakap. Kalau dikata jangan, lagi dibuatnya. Sampai berbuih mulut kekadang tu. Boleh tahan gak tahap kedegilan Husaini nie. Al-maklumlah, orang ada dua pusar di kepala (macam ayah dia gak ler - dua pusar, sama degil). Almost every day ada ajer nak gaduh dengan ayah. Tapi lepas gaduh, kesian ler pulak tengok Husaini.

Sabar... sabar... Dugaan!

Friday, September 21, 2007

Abang Husaini

Alhamdulillah pada hari Isnin lepas (17 September 2007) tepat jam 1.40 pagi, Amir Husaini telah menjadi abang. Adiknya, Shaikh Ammar Qusyairi telah selamat dilahirkan.

Pada mulanya, sewaktu Ammar Qusyairi dibawa pulang, Amir Husaini nampak semacam jeles dengan adiknya. Rasanya itu perkara normal bagi seseorang yang baru bergelar "abang." Lepas sehari dua, barulah Husaini dapat adjust dengan kehadiran ahli keluarga baru. Dia pun dah mula membahasakan dirinya sebagai "Abang Husaini."

Moga Husaini dan Qusyairi akan dapat membesar sebagai abang dan adik dengan mesra, akrab dan ceria.

Friday, September 14, 2007

Celoteh

Kebelakangan nie, Amir Husaini banyak celoteh. Semalam misalnya, waktu orang semua sibuk nak siapkan juadah untuk berbuka puasa, Husaini punyalah banyak cerita sampai tak terlayan. Cakap dia pun dah semakin lancar dan terus. Pelat pun dah kurang walaupun masih ada beberapa perkataan yang masih disebut tak betul.

Kalau Husaini nampak kereta polis, dia akan kata, "Polis nak tangkap orang jahat."

Kalau Husaini nampak ambulans, dia akan kata, "Ambulans nak hantar orang sakit."

Kalau Husaini nampak lori sampah, dia akan kata, "Lori sampah nak angkat sampah."

Kalau Husaini nampak KLCC, dia akan kata, "Husaini dah pernah pi KLCC."

Kalau Husaini nampak cerita Justiriser di TV, dia akan kata, "Bertukar!!!" - siap dengan aksinya sekali.

Sabar ajerlah...

Wednesday, September 12, 2007

Firasat

Orang tua-tua selalu kata yang kanak-kanak kadang-kadang boleh tahu sesuatu perkara. Entahlah, agaknya kanak-kanak dengan jiwa yang suci boleh memahami dan merasai sesetengah perkara yang orang dewasa sendiri tidak perasan atau tidak tahu.

Amir Husaini misalnya, walaupun usianya baru 2 tahun 4 bulan, ada kalanya apa yang dipertuturkannya menyebabkan ayah dan mama terdiam sejenak. Amir Husaini akan menjadi abang tidak lama lagi, insya-Allah. Ketika usia semuda ini, mungkin dia kurang mengerti perasaan untuk mendapat adik. Sekurang-kurangnya itulah yang difikirkan oleh ayah dan mama.

Tetapi beberapa kali baru-baru ini, Husaini ada sebut, "Husaini nak dapat adik nanti" dan kerap juga dia membahasakan dirinya sebagai "Abang Husaini." Ada ketikanya pula, dia akan mengasingkan barang tertentu dengan berkata, "Ini adik punya."

Cuma yang agak menggelikan hati ialah apabila Husaini sebut, "Husaini nak dapat adik dua!"

Dua orang adik? Bila discan oleh doktor setiap kali mama pergi check-up, cuma ada seorang ajer adik. Tak kan scan yang dibuat silap kot? Hmmm...

Monday, September 10, 2007

Rekod baru

Minggu lepas, Amir Husaini telah mencipta rekod baru bagi acara tidur lewat. Rekod baru yang diciptanya iaitu pada jam 3 pagi memadamkan semua rekod lama sebelum ini. Sekarang ini, walaupun Husaini taklah tidur selewat 3 pagi, waktu tidurnya masih lewat. Paling awal tidur pukul 1 pagi.

Adakah rekod baru ini akan dipecahkan selepas ini? Kita tunggu dan lihat...

Tuesday, September 04, 2007

Muruku dan Keroro

Semalam Amir Husaini makan muruku. Nampak dia suka benar dengan makanan nie. Bila habis, Husaini minta lagi.

"Nak kuruku. Nak kuruku!"

Mama kata bila Husaini sebut "kuruku" tu seakan-akan bila dia sebut "Keroro" - watak kartun yang diminati oleh Husaini. Memang Husaini minat sungguh dengan Keroro. Kalau Keroro mula saja disiar di tv, dia akan duduk setia depan tv dari awal sampai habis.

Monday, September 03, 2007

Tidur lewat

Semenjak 10 hari yang lepas, Amir Husaini selalu tidur lewat. Waktu tidur dah berganjak ke jam 1.30 hingga 2 pagi. Cuma semalam saja baru dia tidur awal. Nampaknya lepas nie kena control dan reset jam biologi Husaini supaya dia tidur awal sikit.

Sunday, September 02, 2007

Mari mengeja

Amir Husaini memang dah boleh sebut ABC. Cuma bab membaca dengan mengeja tu belum lagilah sebab dia baru jer umur 2 tahun 4 bulan.

Hari nie, ada sesuatu yang menarik yang berlaku. Mak Tok eja S-U-S-U supaya Husaini tak tahu yang susu dah siap dibuat. Tapi Husaini tahu yang S-U-S-U tu adalah susu!